Sunday, April 13, 2008

Negara Acheh Darussalam





PENGENALAN

Acheh mula mendapat perhatian dunia selepas dilanda Tsunami pada bulan 24 Disember 2004. Tahukah anda bahawa Acheh punya sejarah silam yang gemilang? Secara peribadi, saya berpendapat bahawa Acheh adalah negara Islam paling berjaya dan berkuasa yang pernah wujud di Nusantara.

BERMULANYA SEJARAH KEGEMILANGAN ACHEH

Sejarah kegemilangan Acheh bermula selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Sultan Ali Al Mughayat Shah (1507 – 1522), pengasas NEGARA ACHEH DARUSSALAM, bertindak bijak menurunkan cukai pelabuhan Acheh untuk menarik pedagang dari pelabuhan Melaka yg dikuasai Portugis.

Penggantinya, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1606-1636) melakukan reformasi perdagangan dengan menaikkan cukai eksport di samping mendekatkan Pelabuhan Sumatera dengan Acheh agar kepentingannya tidak dirugikan. Dasar liberal & keamanan yg terjamin ini telah menjadikan Acheh sebagai pelabuhan tumpuan baru di Selat Melaka.

"POWER BROKER" ISLAM DI NUSANTARA

Semangat jihad yang mendalam telah menjadikan Acheh sebagai "power broker" Islam yg baru di Nusantara selepas kejatuhan Melaka. Di bawah pimpinan Sultan Alaudin Ri’ayat Shah, Acheh telah berjaya menewaskan Portugis beberapa kali sehingga Baginda digelar Al-Qahhar (Yang Menang). Hasilnya, sebahagian besar Sumatera jatuh ke tangan Acheh dan ini telah menjadikan Acheh sebagai sebuah pusat perdagangan entreport yang berjaya.

Di bawah pimpinan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1606-1636), wilayah di Semenanjung seperti Perak (1573), Kedah & Pahang telah berjaya ditakluki sebagi strategi untuk mengepung Portugis di Melaka dari darat & laut. Di antara 1573 – 1627, Baginda telah melancarkan perang jihad terhadap Portugis sebanyak 16 kali tetapi kesemuanya gagal kerana kekukuhan benteng mereka.

HUBUNGAN ANTARABANGSA

Kedudukan Acheh sebagai pembela Islam di Nusantara mendapat pengiktirafan antarabangsa:

• Sultan Salim II (1566 - 1573) dari Kerajaan Islam Usmaniyah di Istanbul, Turki yg merupakan "world super power" pada zaman itu telah menganugerahkan gelaran Sultan kepada raja Acheh. Baginda mengirimkan 40 orang penasihat tentera ke Acheh.

• Penggantinya, Sultan Murad III (1573 – 1596) telah memberikan gelaran “Serambi Mekah” kepada Acheh.

• Kerajaan Islam Moghul di India juga memberikan pengiktirafan mereka dengan menghantar panglima & penasihat perang ke Acheh.

PERANAN ULAMAK

Golongan ulamak memainkan peranan penting di dalam bidang pemerintahan & intelektualisme seperti:

• Syeikh Hamzah Al Fansuri (sekitar 1550 – 1600) – satu-satunya tokoh yang menggegarkan alam intelektual kerana sifat-sifat intelektualisma yang menonjol di dalam karya-karyanya. Beliau dianggap sebagai Bapa Sastera Melayu Moden & Pelopor Sya’ir Melayu oleh Prof Sayyid Naquib Al-Attas. Pengaruh dari tokoh wali besar Islam, Syeikh Abdul Qadir Jailani dalam dirinya dapat dilihat jelas dari bait sya’ir beliau ini;

Hamzah nin asalnya Fansuri
Mendapat wujud di tanah Sahr-Nawi
Beroleh khalifat ilmu yg aliyy (tinggi)
Daripada Abdul Qadir Jailani

• Syeikh Shamsuddin Al Sumatrani – anak murid kepada Syeikh Hamzah Al Fansuri. Menjadi Perdana Menteri di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.

• Syeikh Abdul Rauf Singkel – menjadi Perdana Menteri semasa pemerintahan Sultanah Safiatuddin Tajul Alam (1645 – 1675) & bertanggungjawab membina semula pentadbiran Acheh yang hancur akibat perang dengan Portugis di Melaka (1629). Beliau juga dikenali dengan nama Tengku Syeikh di Kuala kerana mengajar & mendirikan madrasah di Kuala Sg Acheh sekembalinya dari berguru di Mekah, Madinah & Jeddah. Beliau adalah pelopor Ilmu Tafsir Al-Qur’an di Alam Melayu melalui kitab Tafsir Al Baidhawi yang sehingga kini masih diterbitkan di Mesir. Sebagai mengenang jasa & menghormati peribadi beliau, namanya diabadikan pada sebuah universiti di Acheh iaitu Universiti Syeikh di Kuala.

• Syeikh Bukhari Al Jauhari – pelopor bidang politik melalui kitab Tajus Salatin (1603). Buku ini mempunyai pengaruh mendalam terhadap karya-karya penulis terkemudian seperti Bustanus Salatin (1638) oleh Syeikh Nuruddin Ar Raniri & Sulalatus Salatin (1612) oleh Tun Seri Lanang.

• Syeikh Nuruddin Ar Raniri – menghasilkan banyak karangan bermutu di dalam bidang Fiqh (perundangan Islam), Usuluddin (Tauhid atau Theology Islam), Hadis & politik. Di atas perintah Sultan Iskandar Thani, beliau menulis kitab Bustanus Salatin (1638).

KEJATUHAN ACHEH

Acheh hanya jatuh ke tangan Belanda pada awal kurun ke-20. Semangat jihad yg menyemarak di dada rakyat Acheh menyebabkan Belanda terpaksa membuat tektik “divide & rule” (pecah & perintah) dengan merasuah sebahagian hulubalang Acheh kerana tidak mungkin Acheh dapat ditewaskan dengan direct / conventional war.

ACHEH AKAN BANGKIT KEMBALI

There is always a blessing in disguise. Saya percaya ada hikmah yg besar di sebalik bencana tsunami yg melanda Acheh baru-baru ini. Mungkin ini suatu proses permulaan terhadap rebuilding semangat Islam Acheh yg dahulu. Jika Jepun berjaya bangkit dari bencana bom atom di Hiroshima & Nagasaki untuk menjadi kuasa ekonomi dunia, tidak mustahil Acheh juga akan bangun dari malapetaka ini untuk menjadi kuasa penyebaran Islam di Nusantara ini, kerana mereka mempunyai sejarah silam yang gemilang.

Wallahu a’lam bissawab.