Sunday, June 29, 2008

DOL SAID PAHLAWAN NANING














DOL Said atau nama sebenar beliau Abdul Said lahir dalam tahun 1773 di Naning, Alor Gajah, Melaka dan berasal dari suku Semelenggang merupakan seorang pahlawan Melayu yang kental. Ini kerana Dol Said memiliki sifat berpantang mati sebelum ajal.

Sejak kecil lagi, sifat keberaniannya mula diperlihatkan apabila beliau mula belajar ilmu mempertahankan diri atau seni silat sejak berusia enam tahun. Sungguhpun berasal dari golongan keluarga yang susah, namun Dol Said sentiasa berusaha untuk memajukan diri, agama dan bangsanya.

Dol Said seorang yang tekun mengaji, cekap dalam seni mempertahankan diri dan sentiasa dihormati orang ramai. Beliau juga seorang yang taat kepada kedua orang tuanya.

Kebangkitan Dol Said

Taring Dol Said mula kelihatan apabila beliau dilantik sebagai Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun. Dol Said merupakan pemerintah Naning yang kesembilan membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh pihak British.

Tentangan orang melayu yang pertama terhadap kuasa luar ialah dearah Naning (Alor Gajah). Ini adalah kerana British telah campurtangan dalam hal ehwal politik dan pentadbiran negeri tersebut dan jelas dapat dilihat apabila British menguasai Melaka dan mendakwa bahawa Naning adalah sebahagian daripada Melaka.

Pihak British telah menegaskan bahawa segala peraturan yang dijalankan di Melaka akan turut dilaksanakan di Naning dan kenyataan ini bercanggah dengan nilai-nilai tradisi dearah Naning.

Pihak British telah meminta Naning memberi satu persepuluh daripada hasilnya. Ini sebagaimana Naning memberi kepada Belanda dahulu dan perjanjian dengan British pada tahun 1801. Menurut perjanjian tersebut, Naning perlu menyerahkan satu persepuluh hasil negerinya. Bagaimanapun, pihak Naning menjelaskan bahawa pemberian kepada Belanda itu atas tanda persahabatan dan tanpa paksaan.

Ketegasan pihak British dan Dol Said telah menyebabkan kegentingan antara kedua-dua belah pihak dan pada 1831 British telah menghantar satu ekspedisi bersama 200 orang tentera menyerang Naning akan tetapi dapat dipatahkan oleh Dol Said dan pengikut-pengikutnya.

Beliau secara keras membangkang kemasukan tentera British di Naning dengan menunjukkan kebijaksanaan peperangan yang telah mengalahkan pihak British dalam dua kempen peperangan.

Dol Said Pahlawan Melayu Melaka

Peperangan Naning, yang berlaku pada tahun 1834 telah menjadikan Dol Said seorang wira yang berani yang telah mengukir di sejarah Melaka. Beliau kemudiannya diberi gelaran Penghulu Dol Said. Dengan pimpinannya itu, beliau telah berjaya mendapat sokongan orang Melayu seramai 1,000 orang untuk menentang British dalam Perang Naning yang bermula pada 6 Ogos 1831 dan berakhir pada 24 Ogos 1831 iaitu kira-kira 18 hari berperang.

Dalam peperangan tersebut, Penghulu Dol Said telah mendapat kejayaan dan sebab utama kejayaan tersebut adalah kerana perpaduan yang wujud di kalangan orang Melayu serta sokongan orang Melayu di wilayah yang lain.

Pada ketika itu, nama Penghulu Dol Said kedengaran di mana-mana tempat. Semua penduduk terutama bangsa Melayu menghamburkan pelbagai pujian terhadap keberanian beliau selaku pemimpin yang menegakkan hak-hak orang Melayu.

Bagaimanapun, yang enggan mengaku kalah dan tidak berpuas hati, sekali lagi bertindak melancarkan serangan ke atas Naning untuk mengembalikan maruah mereka yang kononnya tercalar, sekitar tahun 1982. Dan pertempuran kali ini telah memihak kepada British.

Dol Said akhirnya terpaksa berundur ke Pasir Besar setelah kalah dalam perang Naning kedua pada Februari 1832 dan dalam masa 4 bulan akhirnya Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832.

Pihak Naning tewas bukan kerana tidak mempunyai kepakaran atau strategi yang jitu, akan tetapi pihak Rembau telah berpaling tadah dengan tidak menghantar tentera mereka seperti dijanjikan kepada Naning.

Pada masa yang sama juga, pihak Rembau telah memberitahu kepada pihak British mengenai kelemahan Naning iaitu pihak Naning hanya boleh dikalahkan dengan menaburkan tulang babi dan anjing kekawasan sempadan Naning.

Oleh yang demikian, berakhirlah kerajaan naning pada 1832 setelah sekian lama bertahan dari serangaan Portugis, Belanda dan British. Kekalahan mereka bukan kerana pihak asing tetapi oleh kerana bangsa sendiri yang menikam dari belakang. Orang melayu hanya dapat mencapai kegemilangannya jika mereka bersatu hati.

Sumber : Perpustakaan Malaysia, Sejarah Pahlawan Melayu.

2 comments:

Patriot Selatan said...

Fatkuradzi... aku suka cerita Dol Said.. maklumat ini diperlohei dari mana? Buku yang diterbitkan atau melalui lisan?

Adakah orang tua-tua yang masih ingat akan sejarah Perang naning? Bolehkah diperolehi dokumen dokumen dari Kews England? Seperti surat arahan British supaya Naning membayar cukai? Arahan mobilization tentera British etc.. apa jadi keapda Penghulu Dol Said selepas kekalahann tersebut? Satu lagi aspeks ejarah menarik ialah Perang Jementah... saya belum pernah mendengar tentangnya sehinggalah baru-baru ini... salam hormat..

PENDEKAR said...

suku Semelenggang, susurjalur aku tu...

hari inipun orang melayu kita ramai yang akan ditewaskan oleh bangsa sendiri,

pengkhianatan selama-lamanya akan berlaku andai tidak kembali pada penyatuan berlandaskan al quran